Pertubuhan Bekas Anggota Kumpulan Tabung HajiPertubuhan Bekas Anggota Kumpulan Tabung Haji
  • Utama
  • Latar Belakang
  • Objektif
  • Keahlian
  • Kepimpinan
  • Artikel
  • Galeri
  • Hubungi Kami
Sumbangan
January 2, 2023 by Dato’ Ahmad Sohaimi Abd Rahim

Tabung Haji: Mengingati Sejarah Penubuhan Dan Cabaran Masa Kini

Tabung Haji: Mengingati Sejarah Penubuhan Dan Cabaran Masa Kini
January 2, 2023 by Dato’ Ahmad Sohaimi Abd Rahim

Jom kita melihat sejarah seketika untuk membina kecemerlangan dimasa hadapan. Orang lama masih suka cerita lama.

30 September 1963 adalah hari bersejarah kerana bermulanya aktiviti simpanan wang umat Islam negara ini dalam sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi tujuan menunaikan fardhu haji.

Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji diluluskan penubuhannya oleh parlimen berikutan memorandum Y.M Prof Diraja Ungku Abd. Aziz bin Ungku Abdul Hamid bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Jemaah Haji (Pilgrims Economy Improvement Plan) yang dikemukakan kepada kerajaan. Fakta penting ini mengisi catatan latarbelakang Lembaga Tabung Haji apabila sejarah penubuhannya dinukilkan.

Sejarah umat Islam menunaikan haji bermula lebih awal sebelum penubuhan badan tabungan haji tersebut. Selepas umat Melayu dahulu memeluk agama Islam selewat-lewatnya abad ke-15, ibadah haji menjadi tuntutan bagi yang mampu.

Cabaran menyediakan dana, perjalanan yang jauh dan lama, keadaan tidak selesa atas kapal, penginapan yang sempit dan kotor, masalah kesihatan dan wabak penyakit serta isu perkhidmatan Syeikh Haji, adalah sebahagian survival umat Islam dahulu untuk perjalanan melunaskan kewajipan rukun Islam, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Sejarah panjang menyaksikan bagaimana usaha pemerintah ketika sebelum dan selepas kemerdekaan untuk menambahbaik kebajikan jemaah haji di tanah air dan Tanah Suci.

Pada masa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu, terdapat usaha membaiki kebajikan jemaah haji apabila berlaku rentetan aduan dari jemaah haji dan laporan di akhbar. Namun tindakan sekadar menunjukkan muka pemerintah waktu itu. Tidak banyak langkah berkesan dan bersungguh-sungguh diambil walaupun beberapa ordinan dan peraturan diwujudkan.

Tahun 1948 merupakan tahun yang dianggap berlaku angin perubahan dalam urusan haji umat Islam Tanah Melayu. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada 1 Februari 1948 telah meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi serta menjaga kepentingan orang Melayu. Kewujudannya membawa nafas baharu akan kemajuan hal ehwal agama Islam, termasuk urusan haji.

Jawatankuasa Penasihat Urusan Haji telah diwujudkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Besar Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 atas kesedaran melaksanakan usaha memperbaiki urusan kebajikan jemaah haji. Walaupun jawatankuasa ini merupakan badan penasihat, tetapi peranan mereka telah menghasilkan inisiatif baru ke atas kebajikan jemaah haji yang tidak dilaksanakan sebelum ini.

Ordinan Pengurusan Haji Orang-Orang Islam, 1951 (The Muslim Pilgrims Ordinance) diwujudkan oleh Inggeris untuk menyediakan satu cara lebih baik dan berterusan dalam hal urusan haji orang-orang Islam.

Di bawah peruntukan dalam ordinan ini, Pejabat Hal Ehwal Urusan Haji telah ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun yang sama. Pejabat ini beroperasi di bawah pengurusan Pegawai Pengawal Haji iaitu Tuan Haji (Dato’) Mohd Ali Rouse, dan Pesuruhjaya Haji serta kakitangan di bawahnya.

Pejabat Pengawal Haji ini menjadi perantara dengan agen-agen syeikh, wakil syarikat kapal, pejabat daerah dan tanah serta agensi-agensi lain yang terlibat dengan urusan haji. Pejabat ini terus memainkan peranan sebagai pengendali pengurusan haji sehingga negara mencapai kemerdekaan.

Berikutan maklum balas perkhidmatan haji yang terus diterima, kerajaan Inggeris melantik Dr Kamil Mohd Ariff, Ahli Dewan Perundangan Persekutuan dan Encik (Dato’ Dr) Mustapha Al Bakri Haji Hassan, seorang peguam menganggotai Jawatankuasa Siasatan Haji (Pilgrimage Investigation Committee) pada tahun 1955.

Antara cadangan yang dikemukakan dalam laporan siasatan untuk perhatian kerajaan ialah menubuhkan pejabat haji di Jeddah, mengadakan pusat rawatan jemaah haji, mendaftar Syeikh Haji tempatan dan menubuhkan satu badan mengenai hal haji. Dr Kamil dan Encik (Dato’ Dr) Mustafa adalah antara tokoh yang membawa isu haji yang lebih berani kepada pemerintah Inggeris pada masa itu.

Pada masa kebajikan jemaah haji menjadi topik dan isu masyarakat, YM Prof Diraja Ungku Abd. Aziz bin Ungku Abdul Hamid membangkitkan perihal simpanan umat Islam di luar bandar yang tidak ekonomik.

Idea penting Ungku ialah menubuhkan perbadanan bakal haji bagi Tanah Melayu mengikut undang-undang untuk membolehkan umat Islam menyimpan secara sedikit-sedikit. Sebelum wang digunakan bagi membiayai pemergian hajinya, dana yang terkumpul boleh digunakan untuk pembangunan negara, dan urusniaganya tidak mempunyai unsur riba. Manakala umat Islam mendapat bonus, bukan riba atas perniagaan dan pelaburan yang dijalankan setiap tahun. Akhirnya Rang Undang-Undang Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji diluluskan di bawah akta parlimen pada 7 September 1962.

Cabaran kepada Encik (Tan Sri Dato’) Hanafiah bin Hussain yang dilantik sebagai Pengurus Besar (Ketua Pegawai Eksekutif) perbadanan ialah menarik umat Islam seluruh negara menyimpan di institusi tersebut bagi tujuan menunaikan haji.

Kaedah penyimpanan bermula dengan cara yang mudah dan mempromosikan amalan budaya ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Kempen digerakkan oleh anggota yang kecil melalui pendekatan tayangan wayang pacak dan ceramah mengenai kelebihan menyimpan.

Sejumlah 1,281 umat Islam menyimpan pada tahun pertama penubuhan dengan jumlah simpanan sebanyak RM46,610. Mengikut rekod, pendeposit yang menggunakan simpanan perbadanan atau tabungan haji ini untuk menunaikan haji pada tahun 1964 ialah 165 orang, dan 400 orang tahun berikutnya.

Tahun 1951 hingga 1969 adalah tempoh masa dua badan yang mengurus hal ehwal haji umat Islam negara ini, beroperasi secara berasingan. Pejabat Hal Ehwal Urusan Haji di Pulau Pinang (1951) di bawah pengurusan Kementerian Luar Negeri, sementara Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji di Kuala Lumpur (1963) di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Sungguh pun wujud kerjasama, tetapi hakikatnya kedua-dua badan ini berada di bawah dua kementerian yang berlainan dan di dua bandar yang berasingan, telah menimbulkan masalah penyelarasan.

Akhirnya kedua-dua institusi ini digabungkan apabila parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Akta 8, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 13 Februari 1969.

Penubuhan LUTH juga menjadikan institusi ini satu-satunya di dunia yang melaksanakan dua fungsi di bawah satu bumbung, kemudiannya berkembang pesat di bidang pengurusan haji dan pembangunan ekonomi ummah.

Bagi meringankan tanggungjawab LUTH membiayai kos tidak langsung mengurus jemaah haji dan mengelak kerugian yang dialami dalam aktiviti pelaburan, kerajaan memperuntukkan sepenuhnya kos tersebut secara tahunan mulai 1969. Walau bagaimanapun peruntukan tersebut telah dikurangkan sedikit demi sedikit mulai 1986. Tiada lagi peruntukan kewangan oleh kerajaan kepada LUTH selepas tahun 1993.

Pada tahun 1995, Akta 535 Tabung Haji menggantikan akta sebelumnya bagi membolehkan Lembaga Tabung Haji menjalankan operasi perniagaannya secara lebih inovatif, meluas, berdaya saing dan dinamik.

Sejarah pengurusan haji telah melalui pelbagai perkembangan berikutan perubahan yang berlaku semenjak era kapal laut. Kedinamikan perkembangannya sentiasa berlaku disebabkan oleh peningkatan jumlah jemaah haji, perubahan undang-undang dan peraturan, perubahan sistem pengurusan dan perkhidmatan, kemajuan teknologi serta keperluan memenuhi kehendak jemaah haji.

Di era pemodenan, banyak keselesaan yang dialami oleh rakyat negara ini. Tabung Haji kekal mendepani pengurusan haji terbaik di dunia. Kemudahan yang dirasai oleh jemaah haji kini jauh lebih baik berbanding dahulu. Penginapan yang selesa, penyediaan khidmat sajian, pengangkutan yang baik, bimbingan haji yang teratur, mudah mendapat khidmat perubatan serta penggunaan teknologi baru dalam urusan haji adalah pencapaian yang cemerlang. Visi 2030 perkhidmatan haji Arab Saudi pula membawa anjakan pembaharuan yang semakin baik.

Pada masa yang sama Tabung Haji menjadi sandaran umat Islam negara ini sebagai institusi menjana pendapatan dari simpanan kerana rekod prestasi yang baik dalam pembahagian keuntungan setiap tahun.

Namun selepas hampir 60 tahun penubuhan, Tabung Haji memasuki dimensi baru masa kini apabila institusi ini diserapi peranan bantuan haji ke atas kos perbelanjaan sebenar jemaah haji dalam jumlah yang besar.

CABARAN YANG MEMERLUKAN PERUBAHAN

Sejarah awal penubuhan Tabung Haji wajar diingati dengan memahami tujuannya yang menepati keadaan dan keperluan umat Islam pada masa itu. Dengan asas tujuan yang kuat, Tabung Haji berjaya membawa agenda membaiki kebajikan dan keselesaan jemaah haji terutama di Tanah Suci dalam era yang lebih moden kini.

Namun hakikatnya, kos sebenar dan kos tidak langsung terus meningkat. Peningkatan kos ini telah menyebabkan Tabung Haji perlu menjana pendapatan untuk membiayai sendiri kos tidak langsung dan sebahagian besar kos sebenar jemaah haji kerana tiada lagi bantuan kerajaan. Usaha menjana pendapatan lebih besar dan konsisten perlu dibuat supaya kantung institusi ini mampu menampung kos haji dan memberi pulangan yang kompetatif kepada semua pendepositnya.

Kos ini menyebabkan penggunaan dana keuntungan Tabung Haji sehingga lebih 400 juta setahun jika mengurus 30,000 jemaah. Kos yang besar ini pastinya memberi kesan kepada jumlah keuntungan bersih yang boleh dibahagikan kepada pendeposit. Dalam keadaan prestasi kewangan Tabung Haji yang tidak menentu, terutama akhir-akhir ini, tanggungjawab sedemikian memberi tekanan yang berterusan.

Telah ada isu yang dibangkitkan, kenapa Tabung Haji perlu menanggung sebahagian besar kos haji jemaah sedangkan syariat haji hanya kepada mereka yang ada kemampuan (istito’ah). Umat Islam yang membuka akaun dan mendaftar haji telah mempunyai kemampuan atau awal-awal lagi ada perancangan kewangan mereka untuk menunaikan haji selepas mendaftar. Malahan Tabung Haji membantu meningkatkan jumlah simpanan haji mereka melalui pemberian hibah saban tahun.

Dasar kuota haji yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi telah mengakibatkan senarai panjang umat Islam yang menunggu untuk giliran menunaikan haji. Tempoh masa menunggu giliran sehingga lebih 100 tahun langsung tidak masuk akal. Faktor pertambahan jumlah umat Islam mendaftar ialah kerana mudahnya mendaftar dengan hanya mendeposit RM1,300 dan semua peringkat umur boleh berdaftar termasuk bayi yang baru lahir. Usaha meningkatkan jumlah umat Islam membuka akaun dan mendaftar haji pula menjadi sasaran kempen cawangan Tabung Haji seluruh negara. Justeru, jumlah menunggu giliran haji semakin panjang dan lama.

Menjelang usia 60 tahun kewujudannya, perubahan perlu dilaksanakan ke atas kos haji dan penyelarasan bantuan haji. Perubahan yang hendak dilaksanakan, perlu memberi kesan kepada survival Tabung Haji untuk kembali ke saf hadapan memayungi umat Islam di negara ini.

Pengurusan perlu ikhlas dan memiliki sifat ITQAN dari peringkat atas sehingga ke bawah, mengendali institusi Tabung Haji dengan rasa keimanan dan ketaqwaan.

Siapa pun kepimpinan politik yang ditaqdirkan menjaga Tabung Haji perlu utamakan keperluan sebenar dan bukan semata-mata menagih sokongan dengan mencari sebab untuk memenangkan diri serta kumpulan kerana Tabung Haji adalah medan mendapat pahala dan barokah.

Marilah bermunajat dan berdoa agar Tabung Haji kekal sebagai pemangkin kekuatan umat Islam negara ini selepas hampir 60 tahun penubuhannya. Berilah sokongan yang boleh membangunkan institusi ini, bukan meruntuhkan. Menulis dan bertuturlah atas perkara yang membina, bukan selain daripada itu.

Kembalikan juga ingatan kita kepada bekas-bekas anggota Tabung Haji yang pernah menyumbang tenaga dan pemikiran mereka sejak berdekad dahulu sehingga membawa kecemerlangan. Mereka adalah perintis, kepada pengurusan barulah kecemerlangan itu diwariskan.

Sekian, terima kasih.

30 September 2022

Kuala Lumpur

Dato’ Ahmad Sohaimi Abd Rahim

Merupakan bekas anggota Lembaga Tabung Haji dengan jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Haji. Memiliki lebih dari 30 tahun pengalaman menguruskan jemaah haji Malaysia.

Previous articlePersediaan Musim Haji Sepanjang Tahun
Dato’ Ahmad Sohaimi Abd Rahim
Merupakan bekas anggota Lembaga Tabung Haji dengan jawatan terakhir sebagai Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Haji. Memiliki lebih dari 30 tahun pengalaman menguruskan jemaah haji Malaysia.

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sumbangan


Sumbangan anda amat kami harapkan untuk memastikan pertubuhan kami terus aktif dalam membantu ahli-ahli yang memerlukan.

Artikel Terkini

Tabung Haji: Mengingati Sejarah Penubuhan Dan Cabaran Masa KiniJanuary 2, 2023
Persediaan Musim Haji Sepanjang TahunJanuary 2, 2023

Categories

  • Nota Haji

Tags

haji nota haji pengalaman haji pengurusan haji persediaan haji sejarah sejarah tabung haji tabung haji umrah

Site Map

  • Utama
  • Latar Belakang
  • Objektif
  • Keahlian
  • Kepimpinan
  • Artikel
  • Galeri
  • Hubungi Kami

Statistik Pelawat

001194
Users Today : 0
Users Yesterday : 0
Total Users : 1194
Copyright © 2022 Pertubuhan Bekas Anggota Kumpulan Tabung Haji